Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    M. Nasir kongsi perjalanan 45 tahun sebagai anak seni

    Penyanyi dan komposer Datuk M. Nasir pernah terfikir untuk menamatkan kerjaya seni ketika namanya berada di puncak sekitar 30 tahun lalu.

    Memetik laporan mStar, Nasir, 67, berkata, ketika itu beliau mempunyai perasaan berkenaan kerana merasakan industri muzik tempatan tidak mencapai jangkaan seperti diharapkan.

    “Ada juga rasa putus asa, selalunya bila buat sesuatu tapi tak jadi ataupun saya melihat dunia hiburan tidak sampai apa yang saya harapkan.

    “Industri membesar tak cantik sangat, hormat orang pada kita pun kurang. Ia berlaku pada pertengahan karier saya pada tahun 90-an.

    “Dari segi bentuk kita belum jadi, kita banyak bakat tapi tak sampai lagi jangkaan saya itu,” katanya kepada mStar.

    Nasir berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Dato’ M. N45ir Cipta di Dadi Cinema, Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun Nasir menyifatkan semua cabaran dilalui sebagai anak seni sepanjang 45 tahun adalah perkara menyeronokkan dan meninggalkan pelbagai memori manis kepadanya.

    Semua perkara itu juga bakal dizahirkan menerusi Konsert Dato’ M. N45ir Cipta yang bakal berlangsung pada 10 Ogos depan di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

    Kongsi Nasir, menerusi konsert itu nanti beliau bakal menyanyikan 40 buah bagi mengimbau kembali perjalanan 45 tahun sebagai anak seni khas buat peminat.

    “Hidup ini seperti naik roller coaster, walaupun ia bergelombang, 45 tahun ini sangat indah. Saya bersyukur kerana sentiasa dapat sokongan mereka yang selalu ada di sisi.

    “Saya akan menyanyikan lebih 40 lagu termasuk lagu saya gubah untuk penyanyi lain, yang mungkin orang tidak tahu itu adalah lagu saya hasilkan.

    “Antaranya lagu Padang Lalang (Hattan), Rintik Hujan di Kelopak Mawar (Dayangku Intan), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), dan mungkin kalau ada (peminat).

    “InsyaAllah kalau ada peminat minta lagu, saya akan cuba layan permintaan mereka,” kongsinya. – Agensi

    M. Nasir akan mengadakan konsert sempena pembabitannya selama 45 tahun dalam industri. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda