Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MAB, PCEB pacu industri MICE

    GEORGE TOWN, 4 Jan – Malaysia Airlines Bhd (MAB) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) dalam usaha memacu penyertaan serta bahagian Malaysia dalam industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

    Ketua Jualan MAB, Yeoh Hock Thye, berkata pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama itu memandangkan PCEB dan rakan industrinya dapat memanfaatkan kesalinghubungan dan rangkaian MAB di peringkat global. Pada masa ini, MAB menawarkan 45 penerbangan mingguan ke Pulau Pinang dengan membawa kira-kira 7,200 pengunjung.

    “Hasil kerjasama strategik ini dapat memacu aliran penumpang kami di peringkat global ke Malaysia, khususnya Pulau Pinang serta mengetengahkan tawaran membabitkan MICE,” katanya dalam ucapan perasmian di majlis pemeteraian itu di sini, hari ini.

    Yeoh berkata, pengunjung yang memilih Malaysia dan Pulau Pinang bagi tujuan perniagaan pelancongan juga berpeluang untuk mendapat manfaat daripada kemudahan persidangan yang diiktiraf antarabangsa dengan berlatarbelakangkan keindahan negeri itu. Pada majlis itu, Yeoh mewakili MAB manakala PCEB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ashwin Gunasekeran dan acara itu disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

    Sementara itu, Lim berkata perniagaan berasaskan penganjuran acara merupakan sektor ekonomi yang semakin berkembang pesat di negeri itu, termasuk menyumbang RM808 juta kepada ekonomi pada 2016. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda