Karpet kereta bukanlah perkara utama yang orang ramai ambil kira apabila memiliki kereta tapi sebenarnya, aksesori kereta ini memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi bahagian lantai kereta, menjamin kebersihan kereta, serta memberi pengalaman memandu yang lebih baik.
Jika awda bercadang nak beli karpet kereta, di sini kami sediakan maklumat dan tip berguna untuk bantu awda dapatkan karpet kereta terbaik untuk kereta awda dari laman blog Carsome.My.
ADA BERAPA JENIS KARPET KERETA DI PASARAN?
1. Karpet kereta coil
Ini adalah jenis karpet kereta yang paling popular. Karpet kereta jenis coil boleh didapati di mana-mana kedai aksesori kereta pada harga yang sangat murah. Permukaan karpet kereta ini dipenuhi dengan bentuk gegelung halus yang boleh memerangkap habuk dan kotoran dengan mudah tapi kalau awda nak membersihkannya memang sangat leceh. Ia juga perlu dibersihkan dengan kerap agar kesihatan awda tidak terjejas akibat daripada bakteria dan debu yang terkumpul pada permukaan karpet kereta ini.
2. Karpet kereta getah
Kalau awda mahukan karpet kereta yang tahan lasak, pilihlah karpet kereta jenis getah. Walaupun harganya jauh lebih mahal berbanding karpet-karpet kereta yang lain, tapi ia tidak mudah lusuh dan boleh digunakan untuk jangka masa yang lama. Karpet jenis ini sangat mudah untuk dibersihkan dan ia juga kalis air serta lumpur, sesuai untuk awda yang tinggal di kawasan yang kerap hujan.
3. Karpet kereta vinil
Harganya yang tidak terlalu mahal serta tidak terlalu murah menjadikan karpet kereta jenis vinil sebagai pilihan utama kebanyakan pemandu. Ia menawarkan perlindungan yang optimum terhadap habuk, kotoran dan air tetapi mudah rosak jika didedahkan kepada suhu yang terlalu tinggi.
Biasanya, karpet kereta vinil mempunyai reka bentuk standard yang boleh digunakan pada semua jenis kereta.
TIP UNTUK PILIH KARPET KERETA
Cari karpet kereta mengikut bentuk lantai kereta
Perasan tak yang setiap kereta mempunyai bentuk lantai yang berlainan? Ada yang mempunyai ruang kaki yang bersegi, lebar, panjang dan banyak lagi. Jadi, sebelum awda beli karpet kereta, pastikan terlebih dahulu yang karpet tersebut boleh dipasang dengan kemas pada lantai kereta awda agar ia boleh memberikan perlindungan yang menyeluruh.
Kalau ada ciri keselamatan lagi bagus
Biar betul? Karpet kereta pun kena ada ciri keselamatan ke? Sudah tentulah. Ciri keselamatan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada ciri anti gelincir yang ada pada bahagian belakang karpet seperti penggunaan pita velcro atau permukaan bertekstur dan juga mekanisme kunci yang membantu karpet kereta kekal pada tempatnya tak kira dalam apa jua keadaan.
Jika karpet kereta awda beralih tempat dengan mudah, ia mungkin akan menyukarkan awda untuk memijak pedal brek atau minyak semasa memandu.
Pilih yang senang untuk dibersihkan dan dijaga
Karpet kereta dengan rekaan yang cantik tak semestinya senang untuk dibersihkan dan dijaga. Sebaiknya, pilihlah rekaan yang ringkas dan praktikal. Cuba bayangkan jika awda memilih karpet kereta yang mempunyai banyak lubang kecil pada permukaannya, pasti ia sukar untuk dibersihkan jika dipenuhi dengan habuk dan lumpur. Ingatlah, kalau tersilap pilih awda juga yang akan menyesal nanti!
Jangan lupa bandingkan harga
Dengan pelbagai pilihan karpet kereta yang ada di pasaran, awda bebas untuk memilih yang mana satu paling sesuai untuk awda.
Untuk memastikan awda buat pembelian yang berbaloi, buat perbandingan harga terlebih dahulu dan beli karpet kereta yang sesuai dengan bajet awda.
Kami harap tip yang kami sediakan ini dapat memudahkan pencarian karpet kereta terbaik untuk kereta awda! – Agensi