Tuesday, October 22, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Macam mana tahu sungai ada udang galah?’

    Oleh Raz AS

    Penulis pernah ditanya oleh seorang rakan media sosial, “macam mana kan tau di sungai atu ada udang galah?”, tersenyum penulis membaca teks tersebut kerana terasa sedikit terkejut dan geli hati dengan soalan yang dilontarkan.

    Ilmu penulis tidaklah sedalam mana, kail hanya panjang sejengkal. Usahkan sekilas mata memandang, bahkan jika direnung lama-lama pun sebatang sungai itu dari setiap sudut, penulis tidak akan tahu apa sahaja penghuni-penghuni di dalamnya selain apa yang terzahir di mata atau sudah pernah diperoleh di sana.

    Jadi apa yang hanya mampu disarankan adalah untuk menduga sendiri tempat tersebut, atau lebih senang lagi bertanya kepada penduduk setempat.

    Dipendekkan cerita, rupa-rupanya beliau baru sahaja pulang daripada memancing udang galah di kampung halaman penulis dan itu adalah pengalaman pertama kalinya. Malangnya pada hari itu mereka gagal memperoleh sebarang tangkapan.

    “Payah eh,” itulah antara keluhan yang diluahkannya, menggambarkan kehampaannya. Memang tidak dinafikan, memancing udang galah boleh dikatakan lebih susah berbanding memancing ikan.

    Kekuatan sambarannya bukanlah penentu saiz udang yang memakan umpan awda.- Gambar oleh Raz AS

    Ini kerana, isyarat udang memakan umpan tidak semua sama mengikut keadaan sama ada beza tempat, kelajuan arus, suhu air dan pelbagai lagi. Yang penting joran perlulah diletakkan bukannya dipegang untuk mengesan isyarat tersebut.

    Jika bernasib baik umpan disambar kasar seperti ikan, pemancing hanya tinggal tarik sahaja, atau joran dan tali langsung tidak bergerak tahu-tahu udang sudah melekat pada mata kail ketika pancing ditarik untuk memeriksa umpan.

    Tetapi selalunya udang akan memakan umpan seperti malu-malu. Sama ada hujung joran terangguk-angguk lembut atau tali pancing terjentik-jentik perlahan.

    Kekuatan sambarannya bukanlah penentu saiz udang yang memakan umpan awda. Ini bermakna sambaran yang kasar tidak bermakna udang itu gerenti bersaiz besar, dan sebaliknya, sambaran halus tidak bermakna ia bersaiz kecil.

    Kesalahan utama yang sering dilakukan oleh orang-orang yang baharu mencuba memancing udang galah, yang sering dilihat sendiri oleh penulis, adalah mereka menyentap joran dengan kuat seperti memancing ikan sebaik adanya getuan di hujung kail.

    Bergantung dengan saiz umpan yang digunakan, apabila adanya getuan halus menandakan udang sedang menjamah umpan awda, pancing perlu dibiarkan seketika sebelum ditarik atau diangkat perlahan.

    Kuncinya adalah untuk tidak terburu-buru, semakin besar saiz umpan awda semakin lamalah perlu ditunggu kerana udang galah bermulut kecil dan mengunyah umpan tidak seperti ikan yang menyedut, menyambar atau ‘mematuk’ umpan.

    Kadang-kadang kes udang terlepas sebaik pancing diangkat adalah kerana mata kail gagal tertancap disebabkan matanya masih dibaluti umpan, atau ia masih belum masuk ke dalam mulut sang udang.

    Berdasarkan dengan isyarat pergerakan pada hujung joran atau tali pancing apabila awda sudah yakin udang mengena, bolehlah mula menarik.

    Semasa pancing diangkat atau ditarik perlahan ia akan terasa berat berbanding biasanya menandakan ada sang udang di hujung sana.

    Sekiranya tiba-tiba terasa ringan bermakna sang udang melepaskan umpan, letakkan balik joran kerana kadang-kadang ia akan kembali lagi selagi mana masih ada umpan pada mata kail.

    Tetapi jika pancing diangkat sang udang terus berundur deras tetapi tidak melekat sebaiknya tarik terus untuk memeriksa umpan.

    Semasa pertarungan, pancing perlulah ditarik dengan perlahan dan berhenti semasa udang berundur tetapi jangan sama sekali membiarkan tali kendur bagi mengelakkan peluang mata kail terlucut.

    Pertarungan melawan udang galah sangat mendebarkan lebih-lebih lagi jika bertarung dengan udang bersaiz idaman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda