Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macau Scam: Suspek dipenjara tujuh tahun

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seorang warganegara asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian Macau Scam telah dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun oleh Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol baru-baru ini.

    Suspek telah dihadapkan ke mahkamah pada 17 Mei lalu dengan sembilan pertuduhan jenayah.

    Timbalan Pendakwa Raya Emily Goh dan Mohammad Syafi’e Mirhan telah mengemukakan pendakwaan di bawah Seksyen 420 dan 109, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 serta Perintah Mengembalikan Aset Jenayah 2012.

    Suspek diberkas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 21 Mac lalu hasil usaha berterusan dan penyiasatan menyeluruh oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

    Dia dipercayai terlibat dalam lebih 50 kes penipuan siber yang menyebabkan kerugian melebihi $1 juta kepada mangsa-mangsa tempatan.

    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Dalam kes-kes berkenaan, suspek dan rangkaiannya dipercayai menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank, menghubungi mangsa melalui telefon serta menakut-nakutkan mereka kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram atau hutang kad kredit.

    Mangsa kemudian diperdaya untuk memindahkan wang secara dalam talian atau menyerahkan tunai kepada individu tidak dikenali.

    Sementara itu, Unit Interpol PPDB kini sedang menggiatkan kerjasama antarabangsa bagi menjejak dan membawa pulang suspek-suspek lain dalam rangkaian sindiket yang dipercayai masih bebas dan beroperasi dari luar negara.

    Sindiket penipuan ini bukan sahaja memperdaya mangsa secara halus, malah mengakibatkan tekanan mental dan beban kewangan besar kepada mereka, menjadikan pembanterasan sindiket ini satu keutamaan bagi PPDB.

    PPDB menyeru orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau mesej mencurigakan, terutama yang meminta maklumat peribadi atau kewangan.

    Penipuan siber kini semakin canggih dan licik, menyasarkan mangsa dengan strategi yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

    Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang transaksi kewangan tanpa pengesahan rasmi dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada talian polis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda