Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengeluarkan amaran penting kepada orang ramai mengenai peningkatan kes penipuan yang dilaporkan kebelakangan ini, melibatkan penyamaran sebagai pegawai bank dan polis yang dikenali sebagai Macau Scam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, kes-kes berkenaan telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada mangsa.

Modus operandi penipuan berkenaan kebiasaannya bermula dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank, mendakwa terdapat tunggakan kad kredit atau transaksi mencurigakan dalam akaun mangsa.
Panggilan itu kemudian akan ‘dipindahkan’ kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis, yang seterusnya menakutkan mangsa dengan mengatakan bahawa akaun bank mereka terlibat dalam aktiviti jenayah.
Penjenayah seterusnya akan meminta maklumat peribadi dan mengarahkan mangsa memindahkan atau mengeluarkan wang dengan alasan kononnya untuk tujuan keselamatan.
Mangsa juga diarahkan supaya tidak memberitahu sesiapa dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
Kebanyakan mangsa disasarkan pada waktu bekerja, termasuk warga emas yang sering berada sendirian di rumah serta tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan nasihat segera.
Ada juga kes di mana penjenayah mengarahkan mangsa mengeluarkan wang dari bank dan menyerahkannya kepada individu tertentu atas alasan untuk penyimpanan atau siasatan.
Sehubungan itu, BSJS menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau skim penipuan, tidak berkongsi maklumat peribadi seperti butiran akaun bank, nombor kad pengenalan, gambar atau jumlah simpanan kepada individu tidak dikenali melalui telefon atau aplikasi media sosial, kekal tenang dan tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan, mengesahkan maklumat dengan menghubungi pihak bank melalui talian rasmi atau polis melalui talian kecemasan 993, bukan melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp serta elak memindahkan atau menyerahkan wang tunai kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.
Bagi mereka yang telah menjadi mangsa, mereka harus menghubungi pihak bank dengan segera untuk menghentikan transaksi dan buat laporan polis dengan menyertakan semua butiran berkaitan.
PPDB juga ingin mengingatkan bahawa individu yang terbabit, termasuk mereka yang mendaftarkan atau meminjamkan nombor sim kad serta menyewakan atau meminjamkan akaun bank, boleh didakwa sebagai bersubahat dalam penipuan itu.
PPDB kekal komited dalam usaha membanteras penipuan dan menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan taktik penjenayah yang sering berubah. Penipuan itu akan terus berevolusi, justeru kewaspadaan berterusan amatlah penting.
Masyarakat juga digesa menyebarkan maklumat berkenaan secara meluas, khususnya kepada anak-anak supaya mereka dapat mengenali tanda-tanda penipuan sejak awal, ahli keluarga, demi melindungi semua isi rumah serta ibu bapa dan warga emas, yang sering menjadi sasaran utama penipuan.
Dengan meningkatkan kesedaran dan mengamalkan langkah pencegahan, masyarakat dapat membina rangkaian perlindungan yang lebih kukuh serta mengurangkan risiko ahli keluarga dan orang tersayang menjadi mangsa penipuan.

