Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macedonia adakan undian tukar nama

    SKOPJE, 30 Sept – Penduduk Macedonia telah membuang undi hari ini untuk mengundi sama ada menamakan semula negara mereka sebagai Macedonia Utara dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang berpanjangan dengan Greece dan membuka laluan untuk menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).

    Macedonia telah lama berjuang untuk pengiktirafan namanya sejak negara itu merdeka pada tahun 1991 dari Yugoslavia.

    Sejak itu, Athens membuat bantahan dan menuduh Skopje mencuri nama wilayah utaranya yang juga dipanggil Macedonia.

    Pertikaian selama tiga dekad itu bermula apabila kedua-dua negara mendakwa mempunyai hubungan dengan kerajaan Alexander di Macedon, yang luas empayarnya.

    Tetapi pada Jun lalu, Perdana Menteri Macedonia, Zoran Zaev dan rakan sejawatannya dari Greece, Alexis Tsipras mencapai kata sepakat yang penting di mana Greece akan menolak bantahannya ke atas Macedonia untuk menyertai EU dan NATO sebagai balasan untuk perubahan nama tersebut.

    Undian dibuka hari ini bermula pada pukul 7 pagi waktu tempatan dan ditutup pada pukul 7 malam dalam referendum mengenai sama ada untuk menerima atau menolak perjanjian itu.

    Sementara itu, hanya beberapa pengundi sahaja yang hadir di sekitar pusat pengundian yang ditubuhkan di Sekolah Tinggi Josip Broz Tito di pusat bandar Skopje pada jam pertama pengundian.

    “Saya berharap hasilnya adalah positif. Referendum ini akan mengubah sesuatu jika ia membuka laluan untuk (menyertai) Eropah dan NATO,” kata bekas jururawat, Olivera Argirovska, 74, kepada AFP selepas membuat undian.

    “Ia akan mengubah beberapa perkara untuk belia.”

    Sesetengah daripada pengundi berasa sangat malu untuk menukar nama negara itu atas permintaan negara lain.

    Tetapi keinginan mereka untuk memperoleh masa depan yang lebih baik di wilayah Barat, dan kemakmuran ekonomi yang berpotensi untuk dikecapi, adalah motivasi yang kuat untuk menerima perjanjian itu di salah sebuah negara termiskin di Eropah. – AFP

    Perdana Menteri Macedonia, Zoran Zaev (kiri) dan anak lelakinya, Dushko membuang undi mereka di pusat mengundi di Strumica, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda