ACAPULCO, 2 MAC – Tomas Machac meraih gelaran ATP pertamanya selepas menewaskan pemain Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina, 7-6 (8/6), 6-2 dalam final Terbuka Mexico di Acapulco kelmarin.
Pemain pilihan kelapan itu, yang setahun lalu berada di ranking ke-65 dunia dan memasuki kejohanan itu di tangga ke-25, kini dijangka membuat penampilan sulung dalam kelompok 20 terbaik apabila ranking terkini diumumkan esok.
Pemain berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang dalam servisnya, memenangi 37 daripada 39 mata servis pertama dan menyelamatkan satu mata set pada kedudukan 5/6 dalam tiebreak set pertama dengan pukulan servis kencang yang memaksa Davidovich melakukan kesilapan.
Selain itu, Machac turut menguasai permainan dari garis belakang, menggunakan pukulan depannya untuk mengawal perlawanan, sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Davidovich, yang kini menghuni ranking ke-48 dunia.
Machac menjadi pemain Czech kedua memenangi Terbuka Mexico selepas Jiri Novak pada 1998, serta pemain ketiga yang meraih gelaran ATP pertamanya musim ini selepas Alexandre Muller (Hong Kong, Januari) dan Joao Fonseca (Buenos Aires, Februari).
Sementara itu, Davidovich mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam final ATP selepas tewas kepada Miomir Kecmanovic dalam perlawanan akhir Delray Beach pada 16 Februari lalu, meskipun memiliki dua mata perlawanan. – AFP
