Penyanti rap Machine Gun Kelly (MGK) masih berusaha menambat semula hati pelakon Megan Fox sejak mereka berpisah sebulan lalu.
Menurut sumber terdekat MGK, penyanyi berusia 34 tahun itu sentiasa mencari peluang memperbaiki hubungan tersebut apatah lagi Megan sedang hamil anak mereka.
Aktres itu dijangka bersalin pada Mac depan.
“Dia masih cuba untuk kembali kepada Megan dan berharap diberi peluang memperbaiki kesilapan.
“Hubungan mereka sangat dramatik tapi dia masih tidak berputus asa,” katanya memetik laporan Geo.News.
Sementara itu, Megan tetap dengan pendiriannya untuk mengakhiri hubungan mereka kerana merasakan ia keputusan paling baik.
Pun begitu, dia tidak menghalang MGK untuk melawat anak damit mereka selepas dia bersalin nanti.
“Megan tak akan halang MGK daripada berjumpa dengan anak mereka walaupun akan memfailkan hak penjagaan penuh.
“Megan percaya MGK tidak mampu menjaga dan membesarkan anak mereka dengan baik,” kongsinya.
Pada Disember lalu, Megan dilaporkan sudah berpisah dengan MGK selepas dua minggu mengumumkan kehamilannya.
Megan membuat keputusan tersebut selepas kegiatan penyanyi berkenaan menghantar mesej tidak senonoh kepada wanita lain terbongkar.
Untuk rekod, Megan dan MGK mula menjalinkan hubungan cinta sejak 2020 dan mengikat tali pertunangan dua tahun kemudian. – Agensi