HAMILTON, 2 JUN – Robert MacIntyre melakukan tiga birdie dan satu eagle dalam lima lubang terakhir untuk mendapat kedudukan pendahulu dengan kelebihan empat pukulan selepas pusingan ketiga Terbuka Kanada PGA kelmarin.
Pemain berusia 27 tahun dari Scotland itu, yang memburu kejuaraan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) pertamanya, membuat pukulan empat bawah par 66 untuk mencatat 14 bawah 196 selepas 54 lubang di Hamilton Golf and Country Club di pinggir bandar Toronto.
Berkongsi di tempat kedua dengan skor 200 ialah Mackenzie Hughes dari Kanada, Ryan Fox dari New Zealand dan Ben Griffin dari AS dengan Tommy Fleetwood dari England berkongsi tempat kelima dengan skor 201 bersama Trace Crowe, Sam Burns dan Joel Dahmen dari AS.
Fox dan Griffin mencari kemenangan PGA pertama mereka manakala Hughes memburu gelaran PGA ketiganya di padang golf yang hanya berjarak kurang 20 kilometer dari tempat di mana dia dibesarkan.
MacIntyre mempunyai dua kemenangan dalam Jelajah Dunia DP, yang terkini di Terbuka Itali 2022, tetapi rekod terbaiknya di PGA adalah sebagai naib juara Terbuka Scotland tahun lepas.
Fox, yang berkongsi pendahuluan 36 lubang dengan MacIntyre, melakukan dua birdie dan satu eagle dalam lima lubang pertama tetapi mensia-siakan pendahuluan empat pukulan dengan empat bogey dan tiada birdie selepas itu. – AFP
