Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macron, Abbas bincang masa depan Gaza

    PARIS, 11 NOV – Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijadual bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas di Paris hari ini bagi membincangkan ‘pelaksanaan penuh’ perjanjian gencatan senjata Gaza, menurut kenyataan Istana Elysee.
     
    Pertemuan itu berlangsung sebulan selepas gencatan senjata yang lemah antara Hamas dan Israel, susulan peperangan selama dua tahun.
     
    Abbas, 89, merupakan pemimpin lama Pihak Berkuasa Palestin yang kini mempunyai kawalan terhad ke atas beberapa bahagian Tebing Barat dan sedang dipertimbangkan untuk mengambil alih pentadbiran di Gaza di bawah perjanjian berkenaan.
     
    Kedua-dua pemimpin itu ‘akan membincangkan langkah seterusnya dalam pelan damai, khususnya dalam aspek keselamatan, tadbir urus dan pembinaan semula,’ menurut kenyataan pejabat presiden Perancis.
     
    Perjanjian gencatan senjata bertarikh 10 Oktober itu yang ditaja oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah beberapa kali diuji dengan serangan baharu Israel dan dakwaan serangan pejuang Palestin terhadap askar Israel.
     
    Trump pada minggu lalu menyatakan dia menjangkakan Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang ditugaskan memantau gencatan senjata itu akan ditempatkan di Gaza ‘dalam masa terdekat’.
     
    Pertemuan tersebut turut diadakan selepas keputusan Macron pada September lalu untuk mengiktiraf negara Palestin semasa sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), satu langkah yang disifatkan oleh Pihak Berkuasa Palestin sebagai ‘bersejarah dan berani’.
     
    Dalam perbincangan bersama Abbas, Macron dijangka menekankan kepentingan mengekalkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza serta membincangkan keperluan pembaharuan dalam struktur Pihak Berkuasa Palestin.
     
    Menurut Istana Elysee, reformasi terhadap badan pentadbiran itu penting bagi mewujudkan ‘sebuah negara Palestin yang demokratik dan berdaulat, hidup dalam keamanan dan keselamatan di samping Israel.’ – AFP
     
    Emmanuel Macron menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di hadapan patung Georges Clemenceau di Avenue des Champs-Elysées, Paris, pada 11 November 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda