PARIS, 30 JUN – Presiden Perancis, Emmanuel Macron hari ini dijadual mempengerusikan mesyuarat krisis baharu mengenai keganasan bersama menteri-menteri, susulan protes tiga malam berturut-turut di seluruh negara itu.
Protes itu tercetus ekoran kejadian polis menembak seorang remaja menyebabkan banyak kereta dibakar, premis perniagaan digeledah dan ratusan lagi ditahan.
Ini disusuli oleh perarakan memperingati Nahel, 17, semalam yang kembali mencetuskan rungutan mengenai polis di pinggir bandar berpendapatan rendah dan pelbagai etnik di Perancis.
Istana Presiden, Elysee memaklumkan bahawa Macron akan memendekkan tempoh menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, bagi mempengerusikan mesyuarat yang dianggap sebagai rundingan tergempar kedua, sejak beberapa hari lalu.
Hampir 40,000 polis dan anggota separa tentera bersama unit elit Raid dan GIGN, dikerah ke beberapa bandar dengan perintah berkurung dikeluarkan oleh majlis perbandaran di sekitar Paris dan arahan mengharamkan perhimpunan awam dikuatkuasakan di Lille dan Tourcoing, utara wilayah negara.
Keganasan dan kerosakan harta benda dilaporkan dekat beberapa kawasan, walaupun anggota keselamatan ditempatkan dalam jumlah yang besar. – AFP
