PARIS, 4 APRIL – Presiden Perancis Emmanuel Macron akan mengunjungi China mulai Rabu, dengan harapan dapat menghalang Beijing daripada menyokong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi tanpa mengasingkan pemain perdagangan dan geopolitik yang penting.
“China merupakan satu-satunya negara di dunia yang mampu memberi kesan segera dan radikal terhadap konflik tersebut, dalam satu arah atau yang lain,” kata seorang pegawai dari pejabat Macron kepada pemberita pada Jumaat lalu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Macron dijangka bertegas dengan Presiden Xi Jinping mengenai Ukraine sambil mengambil jalan lain dari nada langsung konfrontasi secara langsung yang sering didengar dari Washington, tambah pegawai itu.
Matlamat pemimpin Perancis itu termasuklah memelihara dan mengimbangi semula hubungan perdagangan China dengan Eropah serta melindungi kepentingan Perancis di rantau Asia-Pasifik di mana Paris melihat dirinya sebagai pemain kepada wilayah luar negara dan penempatan tenteranya.
Kunjungan Macron akan memberi kesan jelas di luar Perancis dan keseluruhan 27 negara Kesatuan Eropah selepas Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berbincang dengan Macron sebelum perjalanan tersebut. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P12-B-paper-web_05042023.jpg)