Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macron beri amaran, cetus kemarahan rakyat

    PARIS, 5 JAN – Presiden Emmanuel Macron hari ini berdepan kemarahan daripada pihak lawan dan kekecohan di parlimen selepas mengeluarkan amaran provokatif kepada rakyat Perancis yang belum mendapatkan vaksin COVID-19, setelah Macron menyatakan aspek-aspek penting dalam kehidupan mereka akan dihadkan.

    Macron, yang belum secara rasmi mengisytiharkan pencalonannya untuk pemilihan semula pada April, mendapat kecaman daripada pencabar, menuduhnya melampaui batas dengan kenyataannya.

    Kekecohan itu menyebabkan penangguhan baharu dalam meluluskan undang-undang yang bertujuan mengetatkan peraturan COVID-19 Perancis pada masa negara itu menghadapi rekod kadar jangkitan harian yang didorong oleh virus Omicron.

    “Bagi mereka yang tidak divaksinasi, saya benar-benar mahu membuat mereka marah,” katanya kepada akhbar Le Parisien dalam satu temu bual, menggunakan kata kerja Perancis ‘emmerder’ yang bermaksud ‘mengehadkan sebanyak mungkin akses mereka kepada aktiviti dalam kehidupan sosial.

    “Kami perlu memberitahu mereka yang belum menerima vaksin bahawa, awda tidak lagi boleh pergi ke restoran. Awda tidak lagi boleh pergi minum kopi, awda tidak lagi boleh pergi ke teater dan awda tidak lagi boleh pergi ke pawagam,” kata presiden.

    “Jika kebebasan awda mengancam kebebasan yang lain, itu tanggungjawab anda. Dan orang tidak bertanggungjawab bukan lagi rakyat negara ini,” tambah Macron.

    Menurut angka kerajaan, 91 peratus warga Perancis berusia lebih 18 tahun telah diberi vaksin lengkap.

    Kadar itu melonjak sepanjang musim panas selepas pengenalan ‘pas kesihatan’ yang mengehadkan banyak aktiviti kepada mereka yang mempunyai bukti vaksinasi, ujian negatif yang terbaharu atau pemulihan daripada jangkitan COVID-19. – AFP

    Presiden Emmanuel Macron menghadapi kemarahan daripada pihak lawan dan kekecohan di parlimen selepas mengeluarkan amaran provokatif kepada rakyat Perancis yang belum mendapatkan vaksin COVID-19. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda