PARIS, 9 SEPT – Presiden Emmanuel Macron akan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri Francois Bayrou hari ini, selepas kerajaan beliau digugurkan dalam usul undi percaya, dengan pemimpin Perancis itu bergegas mencari pengganti bagi mengelak krisis politik baharu.
Kelmarin, Bayrou mengalami kekalahan teruk dalam undi percaya yang beliau sendiri panggil, menjerumuskan Perancis ke dalam ketidakpastian baharu dan meninggalkan tugas kepada Macron untuk mencari perdana menteri ketujuh bagi tempoh mandatnya.
Pejabat presiden Perancis berkata dalam satu kenyataan, Macron telah “mendapat makluman” keputusan itu dan berkata beliau akan melantik perdana menteri baharu “dalam beberapa hari akan datang”, menamatkan sebarang spekulasi presiden mungkin sebaliknya mengadakan pilihan raya mengejut.
Macron telah bertemu Bayrou hari ini “untuk menerima peletakan jawatan kerajaannya,” tambah kenyataan itu.
Di samping itu, Bayrou turut mengejutkan sekutunya sendiri dengan memanggil undi percaya untuk menamatkan kebuntuan lama berhubung bajet penjimatan beliau, yang meramalkan penjimatan kos hampir 44 bilion euro bagi mengurangkan hutang Perancis.

Dalam undi di Majlis Kebangsaan, 364 deputi menyatakan tiada keyakinan terhadap kerajaan, manakala hanya 194 yang memberi sokongan.
“Selaras dengan artikel 50 perlembagaan, perdana menteri mesti menyerahkan peletakan jawatan kerajaannya,” kata speaker, Yael Braun-Pivet.
Bayrou merupakan perdana menteri keenam di bawah Macron sejak pemilihannya pada 2017 dan kelima sejak 2022.
Macron “akan bertindak pantas untuk menggantikan Bayrou,” kata firma analisis risiko, Eurasia Group.
“Macron, yang biasanya lebih suka mengambil masa, berharap dapat mengumumkan perdana menteri baharu minggu ini untuk mengelak krisis pasaran dan perlembagaan sepenuhnya,” tambah kenyataan itu. – AFP

