PARIS, 6 OKT – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, kelmarin menyeru agar penghantaran senjata ke Israel dihentikan untuk kegunaan di Gaza, mencetuskan tindak balas keras daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Macron juga mengkritik keputusan Netanyahu untuk menghantar tentera ke dalam operasi darat di Lubnan.
“Saya fikir hari ini, keutamaan kita adalah kembali kepada penyelesaian politik, kita berhenti menghantar senjata untuk berperang di Gaza,” kata Macron kepada penyiar Perancis, France Inter.
“Perancis tidak menghantar sebarang senjata,” tambahnya semasa temu bual, yang dirakam pada Selasa.
Macron mengulangi kebimbangannya terhadap konflik di Gaza yang berterusan walaupun berulang kali menggesa gencatan senjata.
“Saya rasa kami tidak didengar,” katanya. “Saya fikir ia adalah satu kesilapan, termasuk untuk keselamatan Israel,” katanya sambil menyatakan bahawa perang itu membawa kepada kebencian.
Komennya mendapat reaksi segera daripada Netanyahu.
“Ketika Israel memerangi kuasa kekejaman yang dipimpin oleh Iran, semua negara bertamadun harus berdiri teguh di sisi Israel,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
“Sebaliknya, Presiden Macron dan pemimpin Barat yang lain kini menyeru agar sekatan senjata terhadap Israel.”
Israel sedang berperang dalam beberapa barisan menentang kumpulan yang disokong oleh musuh ketat Iran, tambah kenyataan itu. Pejabat Macron bertindak balas dengan kenyataannya sendiri kelmarin.
Perancis adalah “sahabat setia Israel”, katanya, menyifatkan reaksi Netanyahu sebagai “berlebihan dan terpisah daripada persahabatan antara Perancis dan Israel”. – AFP