Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macron kecam tarif AS, desak langkah balas

    ISTANBUL, 13 JULAI – Presiden Perancis, Emmanuel Macron kelmarin menyuarakan ‘kecaman keras’ terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 30 peratus ke atas eksport Kesatuan Eropah (EU), serta menggesa supaya penyediaan ‘langkah balas yang berwibawa’ dipercepatkan, lapor Anadolu Ajansi.

    “Bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Perancis berkongsi penolakan tegas terhadap pengumuman tarif 30 peratus ke atas eksport EU ke AS mulai 1 Ogos,” kata Macron di platform X.

    Dia mengulangi keperluan Suruhanjaya Eropah untuk menegaskan tekad blok itu dalam mempertahankan kepentingan Eropah.

    “Ini secara khususnya menuntut agar penyediaan langkah balas yang berwibawa dipercepatkan, dengan menggerakkan semua instrumen yang ada termasuk mekanisme anti-paksaan, sekiranya tiada persetujuan dicapai sebelum 1 Ogos,” katanya.

    Macron turut menyatakan sokongan penuh Perancis terhadap rundingan yang dijangka ‘dipertingkatkan’ untuk mencapai persetujuan bersama menjelang 1 Ogos, “yang mencerminkan rasa saling menghormati antara rakan dagang seperti EU dan AS, selaras dengan kepentingan bersama serta rantaian nilai yang saling berkait.” – Bernama

    Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 30 peratus ke atas EU dan Mexico mulai 1 Ogos, sekali gus menjejaskan rundingan perdagangan AS-EU yang dijangka dimuktamadkan bulan ini. – Bernama

    Emmanuel Macron ketika menghadiri mesyuarat bersama pegawai yang dipilih dari New Caledonia dan wakil kerajaan di Istana Elysee, Paris pada 12 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda