JAKARTA, 26 MAC – Presiden Perancis Emmanuel Macron dijadual mengadakan lawatan negara ke Indonesia pada Mei ini bagi memperingati ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Lawatan itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis, Jean-Noël Barrot di Jakarta Pusat pada Rabu.
Kedua-dua menteri membincangkan perancangan lawatan itu serta memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang utama seperti peralihan tenaga, keselamatan makanan, pertahanan, transformasi digital dan pertukaran budaya.
“Kami bersetuju bahawa hasil kerjasama ini harus bersifat nyata, memberi impak, dan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh hubungan dua hala,” kata Sugiono dalam satu kenyataan bersama.
Dalam aspek ekonomi, beliau memaklumkan bahawa pelaburan Perancis di Indonesia menunjukkan peningkatan positif, mencecah US$328 juta tahun lepas.
Kedua-dua negara turut mengenal pasti peluang kerjasama lebih luas dalam sektor tenaga boleh baharu, mineral kritikal, industri kreatif, logistik, pengangkutan dan infrastruktur hijau.
“Kami juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan sektor kreatif, khususnya dalam membangunkan ekosistem digital serta menyediakan latihan bagi bakat baharu, termasuk dalam industri perfileman,” katanya.
Dalam sektor pertahanan, kedua-dua negara bersetuju mengadakan dialog bersemuka antara menteri luar dan menteri pertahanan masing-masing bagi membincangkan isu keselamatan serantau dan global.
Kedua-dua pihak turut mengalu-alukan misi latihan ketenteraan Tentera Laut Perancis, La Perouse, yang diadakan awal tahun ini di rantau Indo-Pasifik. – Bernama
