Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macron, Le Pen dahului pusingan pertama pilihan raya presiden

    PARIS, 11 APRIL – Pusingan pertama pilihan raya presiden 2022 menyaksikan penyandang Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Marine Le Pen dari parti sayap kanan memperoleh undian terbanyak, menurut tinjauan Elabe yang disiarkan televisyen BFMTV, kelmarin.

    Macron mendapat 28.2 peratus undi manakala Le memperoleh 23.4 peratus.

    Dalam kempennya sebelum ini, Macron berikrar untuk “melaksanakan dasar kemajuan, keterbukaan dan memperjuangkan kemerdekaan Perancis dan Eropah”.

    “Pemilihan presiden dalam tempoh dua minggu akan datang bakal menjadi ‘penentu’ masa depan Perancis dan Eropah,” kata Macron.

    Sementara itu, Le Pen menyeru mereka yang tidak mengundi Macron untuk menyokongnya, lapor Xinhua.

    “Saya akan memastikan kemerdekaan negara, saya akan mengawal imigresen dan memulihkan keselamatan untuk semua,” kata calon sayap kanan berkenaan.

    Le Pen yang pernah bertanding jawatan sama pada 2017, berkata impiannya mahu “menyatukan Perancis, dan menjadikannya sebuah negara hebat”.

    Sementara itu, kebanyakan calon yang gagal pada pusingan pertama telah menyuarakan sokongan kepada Macron.

    Keputusan awal dijangka diumumkan pada malam Ahad atau pagi Isnin selepas disahkan Kementerian Dalam Negeri.

    Macron dan Le Pen akan bersaing dalam pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung pada 24 April. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 3 Mei 2017 menunjukkan Marine Le Pen (kiri) dan Presiden Emmanuel Macron. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda