Sunday, December 3, 2023
28.7 C
Brunei

    -

    Macron menang pilihan raya

    PARIS, 25 APRIL – Presiden Perancis, Emmanuel Macron memenangi pemilihan semula presiden bagi meneruskan penggal baharunya apabila mengetepikan saingan sengit pencabarnya pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen.

    Macron dijangka memenangi kira-kira 58 peratus undian pada pusingan kedua berbanding Le Pen dengan 42 peratus, menurut unjuran firma pengundian bagi saluran televisyen Perancis, dibuat berdasarkan sampel kiraan undi.

    Macron ialah Presiden Perancis pertama memenangi pilihan raya presiden bagi penggal kedua dalam tempoh dua dekad, namun keputusan undian diperoleh Le Pen juga menandakan haluan sayap kanan semakin memberi saingan bagi mengambil alih kuasa di Perancis.

    Presiden berusia 44 tahun itu menghadapi pelbagai cabaran dalam penggal keduanya, bermula dengan pilihan raya parlimen pada Jun nanti, berbekal majoriti kritikal untuk memastikan beliau dapat merealisasikan cita-citanya mereformasikan Perancis.

    Keputusan rasmi pemilihan itu dijangka dikeluarkan hari ini.

    Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan dari kumpulan ultra-kiri turun ke jalanan di beberapa bandar di Perancis untuk membantah pemilihan semula Macron.

    Dalam ucapan kemenangan di Champ de Mars di tengah bandar raya Paris, Macron berikrar untuk bertindak balas terhadap kemarahan pengundi yang menyokong pesaingnya, dengan mengatakan bahawa penggal baharunya tidak akan terus berubah.

    Sementara, Le Pen, 53 yang menerima keputusan pemilihan itu, menyatakan dia tidak akan meninggalkan Perancis dan sudah bersedia untuk pilihan raya perundangan yang dijadual diadakan pada Jun. – AFP

    Emmanuel Macron (kanan) menunjukkan buku lima ketika beliau meraikan kemenangannya dalam pilihan raya presiden Perancis bersama isteri Brigitte Macron di Champ de Mars, Paris kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    AS$2.2 juta dilarikan perompak bersenjata

    NEW DELHI, 1 DIS – Perompak bersenjata melarikan 188 juta rupee (AS$2.2 juta) dari sebuah bank di negeri timur laut Manipur yang dilanda keganasan. Rompakan...