PARIS, 22 OGOS – Pemimpin Perancis, Emmanuel Macron menyokong idea bagi sebulan perbincangan lanjut untuk mencari satu jalan penyelesaian Brexit, sementara mengetepikan komproni besar ketika beliau bertemu Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bagi beberapa perbincangan hari ini.
Seperti Canselor Jerman, Angela Merkel semalam, Macron menyokong tempoh 30 hari lagi untuk mencari satu penyelesaian bagi menangani isu di sempadan Ireland.
“Kita perlu mencuba untuk mempunyai satu bulan yang bermanfaat,” kata Macron, di sebelah Johnson, yang menegaskan bahawa penyelesaian ‘sudah tersedia’ bagi mencegah kembalinya pusat pemeriksaan di Ireland yang berpecah.
Tetapi Macron, yang mengakui bahawa beliau mempunyai reputasi sebagai orang yang pa-ling keras ke atas Brexit, menolak gesaan Johnson untuk mengetepikan satu persetujuan penting untuk Ireland yang dirundingkan antara Kesatuan Eropah dan bekas perdana menteri Britain, Theresa May.
Apa yang dipertaruhkan adalah ‘backstop’, yang menyediakan jaminan bahawa pemeriksaan sempadan tidak akan kembali antara ahli EU, Ireland dan Ireland Utara, yang merupakan sebahagian daripada Britain. – AFP
