SAMARKAND, 2 NOV – Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata hari ini, Perancis perlu memperluas pengaruhnya di Asia Tengah, mengambil kira persaingan kuasa antara Eropah, Russia, China dan Turkiye di kawasan yang kaya dengan sumber alam.
Macron telah melakukan lawatan ke Uzbekistan, yang merupakan lawatan pertama oleh seorang Presiden Perancis ke negara itu dalam hampir 30 tahun. Tujuan lawatan itu adalah untuk mempromosikan perniagaan dan budaya Perancis.
Beliau memberikan sokongan kepada usaha Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, dalam membuka pintu negara kepada pelabur global.
“Uzbekistan sedang berubah. Kita perlu ada di sana,” kata Macron semasa pembukaan forum perniagaan Perancis-Uzbek di bandar lama Silk Road, Samarkand.
Selepas beberapa dekad terpinggir berikutan runtuhnya USSR, Mirziyoyev cuba menarik pelaburan global dan meningkatkan imej bekas negara Soviet itu.

Para pengkritik dan kumpulan hak asasi manusia mengatakan Uzbekistan negara dengan pemerintahan yang sangat autoritarian, di mana pembangkang politik dan bantahan terhadap kerajaan dilarang.
Tahun lalu 21 orang terbunuh semasa pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan dalam episod pergolakan awam yang jarang berlaku.
Paris telah menekankan ‘dinamik reformasi’ negara itu dan mengatakan bahawa ia secara berkala membincangkan isu-isu berkaitan dengan pemerintahan yangbaik.
“Kerajaan Perancis mempunyai keyakinan dalam strategi awda,” kata Macron kepada Mirziyoyev.
“Kami percaya kepada dasar ini. Kami menggalakkannya dan kami ingin turut sama terlibat.” – AFP

