OTTAWA, 27 SEPT – Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kelmarin menyatakan visi bersama mereka, termasuk usaha mencapai ekonomi yang ‘terbuka dan bebas karbon’, mempromosikan bahasa Perancis serta gencatan senjata di Lubnan.
Lawatan oleh presiden Perancis, yang merupakan yang kedua sejak beliau memegang jawatan, juga menjadi peluang bagi kedua-dua pemimpin untuk melupakan cabaran politik yang dihadapi di negara masing-masing.
“Perancis dan Kanada berkongsi bahasa yang indah dan nilai-nilai yang sama,” ujar Trudeau, menekankan pentingnya menyebarkan nilai-nilai itu dan memberikan ‘impak positif dalam era cabaran besar ini’.
“Kami mempunyai agenda yang sama. Kami percaya dalam ekonomi terbuka, kami percaya dalam penyahkarbonan ekonomi kami,” kata Macron.
Kedua-dua negara itu juga mengumumkan bahawa mereka akan mengukuhkan kerjasama pertahanan dan memberikan sokongan mereka terhadap Ukraine.
Pertemuan antara perdana menteri berusia 52 tahun dan rakan sejawatannya, 46 tahun, yang kedua-duanya mewakili generasi baharu pemimpin muda yang optimis, diadakan ketika kedua-dua mereka kini berdepan cabaran politik di negara masing-masing. – AFP