PARIS, 29 JUN – Tottenham Hotspur secara rasmi mengesahkan perjanjian untuk mendapatkan pemain kreatif di bahagian tengah, James Maddison daripada Leicester yang diturunkan dalam perjanjian bernilai 40 juta pound serta klausa tambahan semalam.
Pemain antarabangsa England berusia 26 tahun itu menandatangani perjanjian selama lima tahun.
Maddison memulakan kerjayanya dengan Coventry City sebelum menyertai Norwich City pada Januari, 2016. Dia berpindah ke Leicester pada 2018 dan dalam lima musim membuat 203 penampilan, menjaringkan 55 gol dan membantu pasukannya meraih Piala FA. Dia menjaringkan 10 gol musim lalu ketika Leicester tersingkir dari Liga Perdana.
Dia juga membuat tiga caps dengan England.
Kehadiran Maddison di Tottenham akan memberikan kekuatan kepada pasukan yang kekurangan pemain dengan gaya permainan serupa sejak pemergian Christian Eriksen pada tahun 2020.

Maddison merupakan penandatanganan ketiga bagi Tottenham pada musim panas ini. Mereka sebelum ini mengesahkan pemindahan pinjaman pemain sayap Juventus, Dejan Kulusevski serta penjaga gol dari kelab Itali, Empoli, Guglielmo Vicario.
Namun, spekulasi mengenai masa depan penyerang utama Tottenham, Harry Kane, masih berlanjutan, kerana dia memasuki tahun terakhir kontraknya.
Menurut laporan harian Jerman, Bild, Bayern Munich telah mencapai persetujuan terma peribadi dengan kapten England itu. Namun, tawaran awal sebanyak 70 juta euro yang diajukan Bayern telah ditolak oleh Tottenham.
Pihak Kane dipercayai telah meluluskan perpindahan itu, tetapi Bayern memerlukan persetujuan mengenai bayaran dengan Tottenham untuk mengesahkan perpindahan itu.
Bild turut melaporkan bahawa Bayern telah mengemukakan tawaran sebanyak 70 juta euro dengan klausa tambahan bagi Kane, tetapi Tottenham menuntut sekurang-kurangnya 100 juta euro sebagai nilai perpindahan penyerang terulung mereka itu. – AFP