Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Orang ramai khususnya petani bandar yang ingin memulakan penanaman sayur-sayuran sendiri di kawasan rumah kini mempunyai pilihan untuk menggunakan teknologi pertanian moden atau teknologi petani bandar terkini yang diusahakan serta dikendalikan oleh syarikat teknologi pertanian tempatan baru, MADGrow Tech.
Syarikat itu bukan sahaja memperkenalkan penggunaan teknologi pertanian moden seperti penggunaan robot pertanian, FarmBot tetapi juga memperkenalkan kaedah penanaman menggunakan sistem IBC aquaponics yang lebih efisien dan kos rendah menggunakan bahan-bahan buangan atau terpakai yang digunakan semula.
MADGrow Tech kini berpangkalan di Tingkat Bawah, Bangunan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Jalan Menteri Besar di mana kawasan bekas gim bangunan berkenaan telah diubahsuai untuk menjadi pejabat dan kawasan kerja bagi syarikat berkenaan.
Kawasan itu juga kini mempunyai sebuah rumah hijau dan beberapa projek ujian akuaponik dan pertanian vertikal sedang dikendalikan.
Sehubungan dengan itu, majlis pelancaran MADGrow Tech telah diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.



Hadir sama di majlis perasmian berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, para pengarah, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan KSSUP serta para jemputan khas.
Menurut Pengarah Urusan MADGrow Tech, Wan Mohammad Syazwan bin Mohammad Hijazi, FarmBot Genesis merupakan mesin yang boleh digunakan bagi mengendalikan penanaman tanaman bermula daripada benih hingga ia sedia untuk dituai.
Mesin itu juga bertanggungjawab untuk membuang rumpai dan juga memberikan air pada tanaman berkenaan di mana robot itu dikendalikan menggunakan aplikasi yang diprogramkan khusus bagi jenis tanaman.
Beliau juga berkata bahawa syarikatnya pada masa ini sedang mengambil tempahan untuk generasi kedua robot tani berkenaan di mana ia akan mula diedarkan lewat tahun ini.
Selain FarmBot, syarikatnya juga sedang berusaha untuk mereka sistem aquaponik IBC kos rendah dan efisien menggunakan bahan kitar semula yang akan dijual kepada orang ramai.
Beliau menjelaskan sistem itu akan memberikan pengguna peluang untuk menikmati bekalan ikan dan sayur-sayuran bagi kegunaan sendiri. Namun begitu, ulasnya, ia masih lagi pada peringkat ujian dan apabila sistem itu sudah diperhalusi, ia akan dibukakan untuk menerima tempahan daripada orang ramai termasuk perkhidmatan pemasangan dan perkhidmatan lepas jualan.
MADGrow Tech juga berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam bidang teknologi pertanian di Brunei dan dengan bimbingan dan sokongan daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, ia berharap untuk membangunkan lagi amalan penanaman menggunakan atau berasaskan data dengan menggunakan sensor, komputer mudah alih, komunikasi tanpa wayar dan imej daripada dron.