Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Madonna, Elton John akhiri perseteruan selama puluhan tahun

    Madonna dan Elton John akhirnya mencapai titik ‘maaf dan lupakan’ selepas lebih 20 tahun berselisih faham, yang bermula daripada tuduhan Elton mengatakan Ratu Pop itu membawa lagu yang ‘teruk’ dan melakukan ajuk nyanyi pada awal 2000an, lapor The Star.

    Dalam hantaran terbaharu di Instagram, Madonna mengisytiharkan bahawa dia dan pemenang anugerah EGOT itu akhirnya telah ‘berdamai’ sambil berkongsi gambar mereka berpelukan.

    “Kami Akhirnya Berdamai!!! Saya pergi menonton persembahan [@eltonjohn] di SNL hujung minggu lalu!! WOW. Saya teringat ketika masih di sekolah menengah – saya pernah menyelinap keluar rumah pada suatu malam semata-mata untuk menonton persembahan Elton secara langsung di Detroit!

    “Ia satu persembahan yang tidak akan saya lupakan, yang membantu saya memahami kuasa muzik yang mampu mengubah hidup,” tulis Madonna.

    Madonna menekankan bahawa pengalaman melihat penyanyi-penulis lagu dari Britain itu secara langsung telah mengubah haluan hidupnya kerana ia menjadi peringatan penting bahawa tidak mengapa untuk menjadi berbeza.

    Madonna dan Elton John dilihat berdamai dan berpelukan, dalam pertemuan baru-baru ini. – The Star

    Namun, di sebalik penghargaan tersebut, Madonna mengakui bahawa komen pedas daripada penyanyi Your Song itu satu ketika dahulu sukar difahaminya.

    “Selama beberapa dekad, saya terluka apabila mengetahui seseorang yang saya kagumi secara terbuka menyatakan rasa tidak sukanya terhadap saya sebagai seorang artis. Saya tidak faham.

    “Saya diberitahu bahawa Elton John akan menjadi tetamu muzik di SNL dan saya putuskan untuk hadir,” katanya, sambil menambah bahawa dia pergi ke belakang pentas untuk bersemuka mengenai kenyataan lama Elton terhadapnya.

    “Sebaik sahaja saya berjumpa dengannya, kata-kata pertama yang keluar dari mulutnya adalah, ‘Maafkan Saya’ dan tembok antara kami runtuh. Memaafkan adalah senjata yang hebat. Dalam beberapa minit, kami sudah berpelukan,” sambung Madonna, 66 tahun.

    Pada tahun 2002, Elton pernah memberitahu media UK, Sky News, bahawa lagu Madonna untuk filem James Bond, ‘Die Another Day’ merupakan “lagu Bond paling teruk pernah dihasilkan.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda