Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Madrid hoskan GP F1 Sepanyol 2026

    MADRID, 24 JAN – Madrid akan menggantikan Barcelona sebagai tuan rumah Grand Prix (GP) Sepanyol mulai 2026 di litar baharu yang akan mempunyai kedua-dua sektor jalanan dan bukan jalanan, penganjur Formula Satu (F1) mengumumkan kelmarin.

    Litar baharu sepanjang 5.47 kilometer itu akan dibina di dalam dan sekitar pusat pameran IFEMA Madrid di timur laut ibu negara Sepanyol dan ia akan menampilkan 20 selekoh, menurut penganjur dalam satu kenyataan.

    Ia akan mempunyai kapasiti untuk menjadi tuan rumah kepada lebih 110,000 penonton sehari, dengan rancangan untuk memperluaskan kapasiti kepada 140,000 ‘menjadikan Madrid salah satu tempat terbesar dalam kalendar F1,’ tambah kenyataan itu.

    Perjanjian itu, yang berlangsung sehingga 2035, bermakna wilayah Madrid akan menjadi tuan rumah GP negara itu buat kali pertama sejak 1981, apabila litar Jarama di utara ibu negara mengadakan acara itu.

    “Madrid bukan sahaja bercita-cita untuk menjadi tuan rumah GP F1, ia mahu menjadi tuan rumah GP F1 terbaik di dunia,” kata Datuk Bandar Madrid, Jose Luis Martinez-Almeida, pada pembentangan rasmi acara itu.

    Acara itu diramalkan akan mewujudkan 8,200 buah pekerjaan dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar Madrid sebanyak lebih 450 juta euro (AS$489 juta) setahun.

    “Ia adalah salah satu acara sukan terbesar dunia dan kami berbangga kerana ia kembali ke Madrid selepas lebih 40 tahun.

    “Ia bukan satu tugas yang mudah,” kata Ketua Kerajaan wilayah Madrid, Isabel Diaz Ayuso. – AFP

    Martinez- Almeida menyampaikan sidang media di Madrid pada 23 Januari, ketika kumpulan F1 mengumumkan Madrid akan mengadakan Grand Prix Sepanyol baharu mulai 2026. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...