Tuesday, July 15, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Madrid pasukan pilihan menangi Piala Dunia Kelab’

    PASADENA, 17 JUN – Pertahanan veteran Monterrey, Sergio Ramos kelmarin berkata bekas pasukannya Real Madrid perlu dianggap sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia Kelab.

    Paris Saint-Germain (PSG) baru-baru ini memenangi Liga Juara-juara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dengan membelasah Inter Milan pada perlawanan akhir, manakala kelab Liga MX Monterrey bersedia untuk menentang pasukan dari Itali itu dalam perlawanan pembukaan mereka hari ini di Rose Bowl di Pasadena.

    Bagaimanapun Ramos, kini 39, percaya bekas kelabnya, gergasi Sepanyol, Madrid, adalah pasukan sebenar untuk ditewaskan.

    “Real Madrid sentiasa menjadi pasukan pilihan dalam pertandingan besar,” kata Ramos kepada pemberita menjelang perlawanan Kumpulan E menentang Inter.

    “Real Madrid adalah yang terbaik di dunia, untuk tahap yang dimiliki kelab dan pemain serta mentaliti yang telah berkembang di sana selama bertahun-tahun,” tambahnya.

    Ramos semasa bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan Piala Kelab Dunia FIFA 2025 menentang Internazionale di Stadium Rose Bowl pada 16 Jun di Pasadena, California. – AFP

    Madrid mempunyai jurulatih baharu iaitu Xabi Alonso serta ketibaan pemain baharu, Trent Alexander-Arnold dan Dean Huijsen.

    “Kehadiran Xabi pasti menarik, dia memenangi semuanya sebagai pemain dan dia tahu cara kelab itu berfungsi,” kata Ramos.

    “Ia sedikit sebanyak boleh membantunya dalam era baharu ini,” tambahnya.

    Ramos berkata, kegagalan Madrid untuk memenangi trofi utama musim ini bukan disebabkan oleh pemain yang ditandatangani pada musim panas lalu, Kylian Mbappe, yang pernah bermain bersamanya di PSG.

    “Dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, saya bertaruh bahawa Kylian akan membawa pulang empat atau lima anugerah Ballon d’Or,” kata Ramos.

    Bekas kapten Real Madrid itu meninggalkan pasukannya pada 2021 dan berkata dia lebih suka untuk tidak menentang bekas pasukannya di Amerika Syarikat.

    “Berdepan dengan rakan sepasukan lama adalah bagus tetapi jika kami tidak bertemu itu akan menjadi lebih baik – dan kedua-dua pasukan boleh mengelakkan ketidakselesaan itu,” tambahnya.

    Madrid membuka kempen mereka di Miami esok menentang pasukan Arab Saudi, Al Hilal. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda