Madrid tergamam ditewaskan Cadiz

MADRID, 18 OKT – Zinedine Zidane membuat empat pertukaran pada separuh masa pertama kelmarin tetapi gagal memberikan inspirasi kepada Real Madrid selepas pasukannya tewas mengejut 1-0 di tangan pasukan yang baru dipromosikan ke La Liga, Cadiz sementara pengendali Perancis menegaskan ‘tidak akan membuat sebarang alasan’.

Sergio Ramos hanya satu-satunya pertukaran yang dibuat secara paksa di Stadium Alfredo di Stefano selepas ketua pasukan Madrid itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua dengan lutut di sebelah kirinya dibalut dengan ais.

Madrid berkata kecederaan yang dialami adalah tidak serius tetapi masih tidak pasti sama ada Ramos akan dapat diturunkan dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donestsk pada Rabu, dan perlawanan El Clasico tiga hari kemudian.

“Harapnya hanya kecederaan ringan,” kata Zidane. “Esok kami akan mengetahui keadaannya.”

Ketiadaan Ramos bagi tempoh yang panjang akan menjejaskan pasukan juara bertahan liga Sepanyol, yang cuba untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Aksi pemain pertahanan Real Madrid cuba merebut bola dari kawalan pemain Cadiz. Madrid dikejutkan Cadiz selepas tewas 1-0 .- AP

Jika pemain Barcelona menyaksikan perlawanan tersebut, mereka mungkin merasakan mereka dapat menewaskan Madrid dalam pertemuan di Camp Nou minggu hadapan.

Atletico Madrid sebelum itu berjaya menewaskan Celta Vigo 2-0, dengan Luis Suarez mencatat nama selaku penjaring di Balaidos.

“Tidak sebarang penjelasan,” kata Zidane. “Jika menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa pertama, kami tidak boleh mengadu. Tiada sebarang alasan.”

Ini merupakan musim pertama Cadiz berada di liga utama dalam tempoh 14 tahun dan kemenangan pertama ke atas Real Madrid dalam 29 tahun, akan tetapi mereka mampu menjaringkan lebih banyak gol.

Mereka kini berada di kedudukan kedua liga, berkongsi mata dengan pendahulu liga dan hanya dibezakan dengan perbezaan gol. – AFP