BARCELONA, 28 SEPT – Real Madrid menang 2-0 ke atas Las Palmas, kelmarin untuk memintas Barcelona dan naik ke tempat kedua, tetapi Girona yang merupakan kelab kecil dari Catalan menjadi pendahulu La Liga yang mengejutkan selepas menang 2-1 di Villarreal.
Barcelona memulakan minggu sebagai pemimpin La liga tetapi keputusan seri 2-2 di Real Mallorca baru-baru ini membuka peluang kepada pesaing mereka untuk memintas mereka.
Madrid menghasilkan kemenangan selesa dengan gol daripada Brahim Diaz dan Joselu, manakala pemain sayap Brazil, Vinicius Junior juga kembali daripada kecederaan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, selepas sebulan tidak bermain.
“Vinicius datang dengan semangat dan harapan yang tinggi, dia mahu menjaringkan gol dan membantu pasukan,” kata jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti.
“Dia sudah pulih sepenuhnya tetapi kini dia perlu membuat persiapan yang baik untuk perlawanan seterusnya pada Sabtu, di mana dia akan mula bermain,” tambahnya.
Ancelotti merehatkan Jude Bellingham, yang merupakan pemain terbaik Madrid setakat ini, memulakan Diaz di bahagian tengah serangan bagi menggantikan pemain antarabangsa England itu.
Jurulatih Itali itu juga menukar kedua-dua bek sayap selepas kekalahan derby yang menyakitkan oleh Atletico Madrid pada Ahad, dengan Ferland Mendy dan Nacho bermula di tempat Fran Garcia dan Lucas Vazquez.
Real Madrid mendominasi permainan sejak awal menentang pasukan yang baru dipromosikan dari Kepulauan Canary, tetapi kurang sentuhan penyudah yang Karim Benzema bawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan juga yang dimiliki oleh Bellingham dalam beberapa minggu terakhir. – AFP