OVIEDO, 25 OGOS – Kylian Mbappe sekali lagi menjadi penyumbang utama buat Real Madrid apabila mereka menewaskan Real Oviedo 3-0 dalam aksi La Liga kelmarin.
Bagi Oviedo, yang kembali ke saingan tertinggi Sepanyol selepas hampir 25 tahun, kedatangan juara Eropah 15 kali itu menjadi perlawanan penuh meriah, dengan sorakan padu penyokong Asturia bergema di stadium.
Bintang sensasi Mbappe dan Vinicius Junior menjadi pemisah di utara Sepanyol. Penyerang Perancis itu meledak dua gol sebelum pemain Brazil tersebut menjaringkan gol ketiga pada lewat perlawanan.
Jurulatih Xabi Alonso melakukan beberapa perubahan penting daripada kemenangan 1-0 ke atas Osasuna minggu lalu, apabila merehatkan Vinicius dan Trent Alexander-Arnold untuk memberi ruang kepada Rodrygo Goes dan kapten pasukan, Dani Carvajal yang baru pulih daripada kecederaan.
Vinicius yang dimasukkan kemudian membalas kepercayaan dengan menghasilkan satu bantuan gol dan satu jaringan dalam penampilan selama setengah jam.
“Ia adalah perlawanan yang sangat serius dan lengkap,” kata Alonso. “Baik ketika menguasai bola mahupun bertahan. Bermain sebagai satu pasukan.
“Vini masuk dan terlibat dalam dua gol yang memberi ketenangan kepada kami. Semua pemain akan ada peluang masing-masing. Keputusan dibuat dengan pasukan sebagai keutamaan dan itu yang berlaku hari ini.”
Bintang remaja Argentina, Franco Mastantuono, turut membuat penampilan sulung penuh dalam kesebelasan utama Los Blancos.
Pemain berusia 18 tahun itu sempat mempamerkan skil larian kencang dengan melepasi dua pertahanan Oviedo sebelum dijatuhkan dalam kotak penalti, namun pengadil tidak melayan rayuannya. – AFP


