MADRID, 5 MAC – Real Madrid meraih kelebihan tipis ke atas seteru rapat Atletico Madrid dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama kelompok 16 Liga Juara-Juara semalam.
Julian Alvarez menyamakan kedudukan untuk Atletico selepas Rodrygo Goes meletakkan tuan rumah di depan, tetapi Brahim Diaz muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan juara 15 kali itu, menggegarkan Stadium Santiago Bernabeu.
Atletico yang dibimbing oleh Diego Simeone, tewas di final 2014 dan 2016 kepada seteru ketat mereka, berjaya mengekang bintang Madrid, Vinicius Junior dan Kylian Mbappe, namun tetap gagal mengelak kekalahan.
Los Rojiblancos bermain lebih berhati-hati pada penghujung perlawanan, seolah-olah menerima kekalahan tipis satu gol sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik di laman sendiri minggu depan.
Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti, memilih pemain antarabangsa Maghribi, Diaz, di bahagian tengah untuk menggantikan Jude Bellingham yang digantung dan meletakkan Fede Valverde di posisi bek kanan selepas dia disahkan cergas untuk bermain.
Pengendali dari Itali itu menuntut pasukannya menunjukkan sikap dan komitmen lebih baik berbanding ketika kekalahan mereka kepada Real Betis dalam saingan La Liga pada Sabtu, dan mereka berjaya menunaikan permintaan tersebut.
Rodrygo membuka tirai jaringan seawal minit keempat, memperdaya Javi Galan untuk menyambut hantaran menarik Valverde sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan Jan Oblak ke penjuru jauh gawang.
Ia merupakan gol kelima pemain sayap Brazil itu dalam kejohanan kali ini, sekali lagi membuktikan kehebatannya di pentas Eropah dengan rekod 25 gol dalam 61 penampilan bersama Madrid.
Rakan senegaranya, Vinicius, hampir menjaringkan gol kedua buat Madrid apabila dia merempuh masuk ke dalam kotak penalti, tetapi rembatan beliau disekat dengan baik oleh Jose Gimenez. – AFP
