Penyanyi Adira Suhaimi menarik perhatian ramai apabila berkongsi video mesra bersama madunya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim atau lebih dikenali sebagai Datin Red di media sosial miliknya.
Menerusi perkongsian video berdurasi 27 saat itu, mereka dilihat berpakaian sedondon rona hitam sambil berpimpinan tangan menghadiri sebuah acara pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal iaitu Datuk Radzuan Radzwill.
Malah video tersebut turut dimuat naik oleh Datin Red di TikTok miliknya dengan kapsyen berdoa semoga Allah SWT menjaga hubungan tersebut.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat memuji hubungan baik di antara mereka dan mendoakan agar kedua-duanya bahagia hingga ke syurga. “Alhamdulillah, makin cantik Datin Red. Dia sangat sabar dan Adira sangat bagus main peranan yang baik dan tahu di mana tempat dia. Saya doakan awda semua bahagia.
“Macam inilah sepatutnya isteri kedua. Isteri pertama dah cuba untuk terima, isteri kedua kena pandai ambil hati,” tulis warganet.
Sementara itu, mStar cuba untuk mendapatkan reaksi daripada penyanyi lagu Ombak Rindu itu, namun Adira enggan menggulas lanjut dan hanya mengucapkan syukur. – Agensi
