MADU bukan sekadar gula ringkas. Selama bertahun lamanya, madu telah digunakan dalam pelbagai budaya di seluruh dunia.
Apa yang menyebabkan madu amat popular adalah kerana ia mudah untuk dimakan.
Ia juga boleh disapu pada roti, dicampur dengan jus atau sebarang minuman atau dicampur dengan herba lain untuk dijadikan ubat.
Madu ialah cairan kental yang dihasilkan oleh lebah atau serangga lain dari nektar bunga.
Sebahagian besar kandungan madu adalah gula. Madu mendapat rasa manis daripada fruktosa monosakarida dan glukosa.

Pada dasarnya, mengamalkan pengambilan madu setentunya dapat memberikan khasiat tertentu kepada badan.
Kurangkan berat badan
Walaupun madu mengandungi lebih kalori daripada gula apabila diambil bersama air, ia dikatakan mampu membantu mencerna lemak yang tersimpan dalam tubuh.
Begitu jugalah dengan madu yang dicampur dengan jus lemon dalam membantu mengurangkan berat badan.
Sumber tenaga
Satu sudu makan madu mengandungi 64 kalori. Namun begitu ia banyak digunakan sebagai sumber tenaga.
Vitamin dan mineral
Madu mengandungi pelbagai vitamin dan mineral. Jenis vitamin dan mineral serta kuantitinya bergantung pada jenis bunga yang digunakan dalam pemeliharaan lebah. Biasanya madu mengandungi vitamin C, kalsium dan besi.
Antibakteria & antikulat
Sifat antibakteria dan antikulat yang terdapat dalam madu menyebabkan ia sering digunakan sebagai antiseptik semula jadi dalam perubatan tradisional.
Antioksidan
Madu mengandungi nutraceutical yang amat berkesan dalam membuang radikal bebas daripada tubuh.


Sembuhkan luka dan kulit terbakar
Madu boleh disapu pada luka dan masalah kulit terbakar. Dikatakan kesan gula ringkas yang kering dan antibakteria dalam madu membantu dalam merawat masalah ini.
Probiotik
Sesetengah jenis madu mengandungi sejumlah bakteria baik termasuklah enam spesies lactobacilli dan empat spesies bifidobacteria.
Mencantikkan kulit
Sifat antibakteria amat berguna untuk kulit dan apabila digunakan dengan bahan-bahan lain, ia boleh memberikan kesan lembap dan menyuburkan.
Mencegah kanser dan penyakit jantung
Madu mengandungi flavonoid, sejenis antioksidan yang membantu dalam men-gurangkan risiko sesetengah kanser dan penyakit jantung.
Mengurangkan ulser dan masalah gastrousus
Kajian menunjukkan rawatan menggunakan madu mampu membantu penyakit seperti ulser dan bakteria penyebab gastroenteritis.
Legakan batuk
Madu mengandungi demulsen (bahan ubat melegakan) yang dapat melegakan kerengsaan pada mulut atau tekak.
Merangsang ingatan
Antioksidan yang terdapat dalam madu mampu membantu mencegah kerosakan selular dan masalah ingatan pada otak.