Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maduro nafi kaitan dengan dadah dalam surat kepada Trump

    MEXICO, 22 SEPT – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menolak dakwaan, negaranya telah terlibat dalam pemerdagangan dadah, menerusi sepucuk surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dikongsi secara terbuka kelmarin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Dalam surat itu, Maduro berkata hubungan antara Caracas dan Washington telah dibayangi oleh ‘berita palsu’ yang menurutnya “bertujuan untuk mewajarkan peningkatan konflik bersenjata yang akan membawa kerosakan dahsyat ke seluruh benua.”

    Bertarikh 6 September, surat berkenaan dimuat naik ke Facebook oleh Naib Presiden Delcy Rodriguez kelmarin.

    Petikan daripada surat itu sebelum ini sudah dilaporkan dan Rodriguez berkata, surat berkenaan telah dihantar kepada seorang pengantara Amerika Selatan untuk memastikan ia sampai kepada Trump.

    Maduro berkata, beliau masih terbuka untuk mengadakan “perbualan langsung dan jujur” dengan utusan khas AS Richard Grenell “bagi mengatasi gangguan media dan berita palsu.”

    Pemimpin Venezuela itu turut memuji usaha Trump menamatkan peperangan dan menggesa dialog bagi memastikan keamanan di benua Amerika.

    Surat itu hadir di tengah-tengah ketegangan memuncak susulan operasi ketenteraan AS di Caribbean baru-baru ini serta tuduhan Washington bahawa Venezuela mengeksport dadah dan keganasan ke AS. – Bernama

    Nicolas Maduro bercakap semasa sidang media di Caracas, Venezuela pada 1 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda