Thursday, November 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maersk lancar kapal kontena bio-metanol

    COPENHAGEN, 15 SEPT – Syarikat perkapalan Denmark, Maersk kelmarin melancarkan kapal kontena pertama di dunia yang menggunakan bio-metanol, satu langkah penting dalam usahanya untuk mengurangkan karbon dioksida (CO2).

    Maersk, yang menjual divisyen minyaknya kepada TotalEnergies pada tahun 2017, telah menetapkan matlamat untuk menjadi neutral karbon menjelang tahun 2040.

    Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, memberikan nama Laura sempena majlis perasmian di pelabuhan Kopenhagen, meraikan bersama pegawai lain di dermaga kapal untuk melancarkan kapal itu secara rasmi.

    Laura akan membantu mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 100 tan sehari, berbanding dengan kapal yang sama yang menggunakan minyak diesel, kata Maersk.

    Dibina di Korea Selatan oleh Hyundai Heavy Industries (HHI) dan dilengkapi dengan enjin dwi-bahan api, Laura adalah model yang kecil tetapi mampu menghantar 2,136 kontena sebesar 20 kaki (TEU).

    Gambar menunjukkan kapal kontena bio-metanol pertama di dunia yang dipanggil ‘Laura Maersk’ A.P Moller-Maersk. – AFP

    Ia akan mula beroperasi di Laut Baltik pada Oktober, kata Maersk.

    “Metanol hijau adalah pilihan bahan api kami kerana ia adalah satu-satunya penyelesaian yang boleh diterapkan secara meluas yang boleh memenuhi keperluan sifar bersih (pelepasan karbon),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maersk, Vincent Clerc, semasa majlis perasmian.

    “Kita semua mahupun jawatankuasa iklim tidak mampu bersikap acuh tak acuh atau menunggu penyelesaian yang muncul pada hujung tahun 2020an,” tambahnya.

    Dalam skala global, pengangkutan maritim lebih mencemarkan berbanding pengangkutan udara, menurut Institut Ekonomi Maritim Tinggi (ISEMAR).

    Sektor itu menyumbang 2.89 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau, menurut statistik yang diterbitkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda