TAWAU, 1 OGOS – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia memberi pendedahan kepada para petani di Sabah bagi penggunaan teknologi pertanian agar menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti serta hasil keluaran tanaman.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Kedua Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata pihaknya bersedia bekerjasama dan mahu para petani di negeri ini memanfaatkan penggunaan teknologi moden seperti dilakukan petani di Semenanjung Malaysia yang kini mencapai tahap 90 peratus.
“Teknologi dan pertanian perlu berjalan seiring sebab ia boleh membantu meningkatkan hasil berkali ganda dan membantu mengurangkan pelbagai perbelanjaan termasuk kos pekerja dan pengurusan setiap hari, misalnya di Semenanjung ada teknologi canggih siram tanaman hanya dengan menekan aplikasi telefon pintar.
“Saya mengajak petani supaya gunakan teknologi sedia ada di negara kita, ini juga motif kerajaan menggalakkan revolusi pertanian supaya ke arah membantu menampung bekalan makanan negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau di sini hari ini. – Bernama