KALABAKAN, 3 FEB – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menggalakkan kerjasama antara kerajaan Sabah dan Sarawak bagi membangunkan tanah untuk sektor pertanian demi memastikan sekuriti makanan di Malaysia kekal terjamin.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata isu pembangunan tanah untuk pertanian di kedua-dua negeri itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.
“Sehubungan itu, galakan dan sokongan bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, pembangunan infrastruktur mahupun latihan kepada masyarakat yang berminat menceburi bidang agromakanan sentiasa diteruskan.
“Terpulang kepada kerajaan negeri untuk memberi tanah bagi buat projek Persekutuan atau sebarang bentuk kerjasama yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan amanat sempena lawatan kerja rasmi ke Tawau hari ini.
Dalam pada itu, Chan berkata Sabah dan Sarawak juga mempunyai kuasa untuk membenarkan eksport dan import sumber makanan secara sendiri, di samping ketika ini keperluan bekalan makanan termasuk di kedua-dua negeri itu berada pada tahap mencukupi.
Beliau berkata MAFS juga berusaha membantu petani yang mengalami kerugian disebabkan bencana alam dan bantuan disalurkan melalui dana tabung bencana dalam pelbagai bentuk membabitkan nilai 50 peratus daripada jumlah kerugian.
Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menzahirkan hasrat agar Parlimen Tawau turut memiliki projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) berasaskan ternakan ruminan. – Bernama
