Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maghribi bakal berdepan Zambia

    JOHANNESBURG, 14 JULAI – Pasukan Maghribi yang mencatat sejarah dengan mencapai separuh akhir Piala Dunia 2022 mesti memenangi kumpulan yang termasuk Zambia untuk memastikan kelayakan ke edisi seterusnya di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

    Congo Brazzaville, Tanzania, Niger dan Eritrea melengkapkan Kumpulan E selepas undian yang dijalankan kelmarin di Abidjan, ibu kota komersial Ivory Coast oleh bekas bintang-bintang Afrika.

    Maghribi menjadi negara Afrika atau Arab pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia Disember lalu di Qatar sebelum tewas kepada Perancis dan menduduki tempat keempat.

    Dengan kehadiran bintang-bintang yang bermain di Eropah seperti Yassine Bounou, Achraf Hakimi, Sofyan Amrabat dan Youssef en-Nesyri, pasukan berkenaan kelihatan seperti pemenang dalam kumpulan ini dengan Zambia menjadi ancaman terbesar.

    Maghribi adalah pasukan Afrika yang menduduki tempat tertinggi dalam ranking FIFA terkini, mendahului juara Piala Afrika, Senegal dengan Tunisia di tempat ketiga.

    Senegal berada dalam Kumpulan B dan ancaman terbesar kepada mereka mungkin akan datang dari Republik Demokratik Congo yang semakin meningkat prestasinya, yang pernah bermain di Piala Dunia 1974 ketika dikenali sebagai Zaire.

    Seperti Maghribi, Senegal yang diinspirasikan oleh Sadio Mane ingin melayakkan diri ke Piala Dunia selama tiga edisi berturut-turut, dengan edisi seterusnya dijadualkan pada pertengahan 2026.

    Tunisia berada dalam Kumpulan H bersama Equatorial Guinea, pasukan yang semakin meningkat di Afrika yang berjaya menewaskan negara Afrika utara itu dalam perlawanan kelayakan Piala Negara-negara bulan lepas. Saingan lama Nigeria dan Afrika Selatan akan bertembung dalam Kumpulan C, termasuk Zimbabwe, yang dilarang FIFA kerana campur tangan kerajaan dalam bola sepak telah ditarik balik dua hari lalu.

    Ghana yang tersingkir awal di Qatar, akan memberi tumpuan untuk menduduki tempat pertama dalam Kumpulan I mengatasi Mali, satu-satunya pasukan pilihan yang belum pernah layak ke Piala Dunia. – AFP

    Bekas pemain bola sepak Ivory Coast, Emmanuel Eboue menunjukkan tiket Maghribi semasa undian kelayakan untuk zon Afrika Piala Dunia FIFA 2026, di Abidjan baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda