MARRAKECH, 6 OKT – Pihak berkuasa Maghribi hari ini akan mula menyediakan wang kepada keluarga yang rumah mereka musnah dalam gempa bumi bulan lepas yang meragut hampir 3,000 nyawa dan akan memerlukan anggaran AS$11.7 bilion dana pembinaan semula dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selepas suruhanjaya yang diarahkan oleh Raja Mohammed VI, untuk mengawasi usaha pemulihan ditemui awal minggu ini, kerajaan mengatakan pembayaran awal sebanyak AS$242 akan disalurkan bermula pada 6 Oktober.
Gempa bumi pada 8 September lau telah menyebabkan kerosakan di kawasan pedalaman selatan Marrakech, di mana jalan gunung masih belum diturap dan ekonomi bergantung kepada penternakan dan pertanian skala kecil. Ketika malam musim luruh menjadi semakin sejuk, ramai tidur di luar dalam khemah dan sumbangan amat diperlukan untuk mereka membangun semula.
Bayaran tersebut adalah di antara beberapa bentuk bantuan yang akan diberikan oleh Maghribi kepada penduduk yang terusir akibat gempa bumi. Ia akan menyediakan bantuan perumahan sementara bernilai sehingga AS$13,600 (140,000 dirham) untuk membina semula rumah yang musnah. Maghribi juga merancang untuk membina semula kira-kira 1,000 buah sekolah dan 42 pusat kesihatan.
Kabinet diraja berkata pada 14 September bahawa, pembayaran itu akan diberikan kepada 50,000 isi rumah di kawasan yang terjejas. Lebih kurang 4.2 juta orang tinggal di Marrakech dan lima wilayah yang paling terjejas oleh gempa bumi tersebut.
Maghribi juga berjanji untuk menaik taraf dan melebarkan jalan serta menawarkan bantuan tambahan kepada petani dan penternak serta memberi subsidi untuk barli dan makanan ternakan di kawasan yang terjejas. – AP


