RABAT, 14 OGOS – Suhu di Maghribi telah mencatatkan lebih daripada 50 darjah Celsius, untuk kali pertama, menurut perkhidmatan meteorologi negara Afrika Utara itu, kelmarin di tengah-tengah gelombang panas terik.
Stesen meteorologi di bandar pantai selatan Agadir baru-baru ini mencatatkan rekod kebangsaan baharu 50.4C, kata Direktorat Am Meteorologi.
Maghribi telah mengalami beberapa siri gelombang panas sepanjang musim panas dengan suhu yang mencatatkan rekod.
Suhu tertinggi sebelum ini, iaitu 49.9C di bandar Smara, Sahara Barat, direkodkan pada 13 Julai, menurut perkhidmatan cuaca.
“Gelombang haba itu disebabkan oleh kemasukan udara kering dan panas dari selatan, menyebabkan kenaikan suhu yang ketara, melepasi purata bulanan sebanyak lima hingga 13 darjah Celsius,” kata pihak berkuasa meteorologi dalam satu kenyataan.
Gelombang haba itu telah mencetuskan kebakaran hutan dalam beberapa hari kebelakangan ini di utara Maghribi berhampiran Tangier dan ke timur di wilayah Taza, sekali gus memusnahkan hutan tetapi tidak menyebabkan kematian, lapor wartawan AFP.
Julai merupakan bulan paling panas yang pernah direkodkan di Bumi, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah. Ia melepasi rekod sebelumnya pada Julai 2019 sebanyak 0.33C.
Bulan lalu merupakan bulan Julai keempat paling panas di Maghribi sejak 1961.
Ramalan cuaca meramalkan penurunan sedikit suhu dalam beberapa hari akan datang merentasi bahagian utara Afrika Utara. – AFP


