MAGHRIBI, 31 OGOS – Maghribi yang sedang mengalami cuaca panas melampau dan kemarau terburuk dalam beberapa dekad telah melancarkan projek percubaan yang bertujuan untuk melambatkan penyejatan air sambil menjana tenaga hijau menggunakan panel solar terapung.
Di sebuah takungan besar berhampiran bandar utara Tangier, ribuan panel fotovoltaik telah disimpan sebagai langkah bagi melindungi permukaan air daripada sinaran matahari yang terik dan dalam masa yang sama dapat menyerap cahaya untuk menjana elektrik.
Pihak berkuasa telah merancang untuk membekalkan tenaga daripada panel itu ke kompleks pelabuhan Tanger Med yang berdekatan dan jika projek itu berjaya, teknologi tersebut boleh membawa impak lebih meluas bagi kerajaan Maghribi.
Menurut data rasmi, simpanan air Maghribi yang telah habis adalah bersamaan dengan lebih 600 kolam renang bersaiz Olimpik, akibat cuaca panas yang melampau antara Oktober 2022 hingga September 2023.
Sepanjang tempoh yang sama, suhu purata meningkat 1.8°C lebih tinggi daripada biasa.
Pegawai Kementerian Air, Yassine Wahbi berkata takungan Tangier kehilangan sekitar 3,000 meter padu air setiap hari akibat penyejatan, tetapi jumlah itu adalah lebih dua kali ganda pada bulan-bulan musim panas dan panel solar terapung itu dijangka boleh membantu mengurangkan masalah tersebut sekitar 30 peratus.
Sejak program perintis Maghribi bermula lewat tahun lalu, lebih 400 platform terapung yang menyokong beberapa ribu panel telah dipasang dan pihak kerajaan turut merancang untuk memasang lebih banyak lagi, dengan menyasarkan 22,000 panel yang akan melitupi kira-kira 10 hektar daripada 123 hektar takungan Tangier.
Apabila siap, sistem ini dijangka menjana kira-kira 13 megawatt elektrik dan cukup untuk membekalkan kompleks Tanger Med. – AFP


