Tuesday, March 11, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maghribi kejutkan Brazil

    TANGIERS, MAGHRIBI, 26 MAC – Maghribi mengejutkan Brazil 2-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelmarin ketika pasukan Afrika utara itu mencatat kemenangan pertama ke atas juara dunia lima kali itu.

    Pemain tengah, Sofiane Boufal, bekas bintang Southampton, tetapi kini bermain dengan Al Rayyan di Qatar, meletakkan Maghribi di depan selepas 29 minit perlawanan setelah menerima hantaran Bilal El Khannous.

    Kapten Brazil, Casemiro menyamakan kedudukan pada minit ke-67 apabila rembatan lemahnya disambar oleh penjaga gol Yassine Bounou.

    Tetapi pemain tengah yang dipinjamkan ke Sampdoria, Abdelhamid Sabiri meledak gol kemenangan Maghribi dengan sepakan voli pada minit ke-79 membuktikan kejayaan mereka menjadi negara Arab atau Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu bukan satu kebetulan.

    “Saya tidak akan mengatakan kami kurang persefahaman, ia tentang bagaimana mempraktikkan idea jurulatih baharu,” kata Casemiro dari Manchester United.

    Hanya 10 daripada 23 pemain yang membawa Brazil ke peringkat suku akhir Piala Dunia lalu beraksi di Maghribi untuk perlawanan itu.

    Neymar yang cedera sekali lagi tidak beraksi dengan jersi nombor 10nya diserahkan kepada pemain muda Real Madrid, Rodrygo.

    Brazil juga menyaksikan penampilan pengurus baharu di tempat duduk bersama jurulatih sementara, Ramon Menezes, yang telah menggantikan Tite yang meletak jawatan selepas tersingkir di peringkat lapan terakhir Piala Dunia di tangan Croatia.

    Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) berharap dapat mengumumkan nama jurulatih baharunya sebelum permulaan kelayakan ke Piala Dunia 2026 pada September.

    Menurut media Brazil, pilihan pertama CBF ialah Carlo Ancelotti, yang kini mengendalikan pasukan Real Madrid. – AFP

    Aksi Andrey Santos (kanan) semasa perlawanan bola sepak persahabatan antara Maghribi dan Brazil di Stadium Ibn Batouta di Tangiers. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda