RABAT, MAGHRIBI, 30 JULAI – Raja Maghribi akan mengadakan rombakan kerajaan, berusaha mencari ‘wajah baharu’ dan berkata dasar pembangunan negara tidak melakukan secukupnya untuk memenuhi keperluan rakyat.
Dalam satu ucapan malam kelmarin sempena meraikan 20 tahun menaiki takhta, Raja Mohammed VI menegur kerajaan dan memberikan tugas kepada Perdana Menteri Saad-Eddine El Othmani untuk mengemukakan calon kerajaan pada musim luruh.
Raja berkata beliau mahu ‘rakyat dengan mentaliti berlainan dan pegawai yang mampu menambah tahap prestasi.’
Maghribi baru-baru ini melancarkan salah satu loji solar terbesar di dunia dan salah satu kereta api paling laju di Afrika, namun kadar kemiskinan masih tinggi dan kekecewaan sosial telah membawa kepada dua gerakan bantahan besar dalam tempoh tiga tahun lalu.
Pemimpin berusia 55 tahun itu mahu sebuah jawatankuasa menyelia pembaharuan kerajaan dalam sektor seperti pelaburan, pendidikan dan kesihatan, memandangkan model pembangunan sekarang adalah ‘tidak mencukupi.’
Menteri Luar Nasser Bourita memberitahu The Associated Press ‘jawatankuasa ingin memastikan semua warga Maghribi menerima faedah daripada projek pembangunan.’
Beliau berkata Maghribi ‘memerlukan kemahiran baharu’ dalam langkah seterusnya. – AP
