DOHA, 14 DIS – Negara yang sedang mencipta sejarah, Maghribi merancang untuk menumpaskan penyandang juara, Perancis dalam aksi pada awal pagi Khamis ini sambil Argentina dan Lionel Messi menunggu kedatangan pemenang kepada perlawanan kedua separuh akhir Piala Dunia.
Perancis sedar bahawa kemenangan ke atas pakej kejutan Piala Dunia (Maghribi) itu akan membawa mereka selangkah sahaja lagi sebelum menjadikan mereka pasukan pertama dalam 60 tahun yang berjaya mempertahankan kejuaraan.
Skuad kendalian Didier Deschamps adalah pasukan pilihan untuk menang di Stadium Al-Bayt. Namun berdepan Maghribi yang hanya dibolosi satu kali sahaja dalam aksi menumpaskan gergasi secara berterusan telah menjadikan mereka sebagai pasukan dari Afrika yang pertama berjaya mara sehingga ke pusingan empat terakhir dalam Piala Dunia.
Maghribi sudah pun mengecewakan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol dan pasukan berkualiti tinggi, Portugal dalam perjalanan ke pusingan separuh akhir, satu rekod yang menyebabkan kapten Perancis, Hugo Lloris memberikan amaran kepada pasukannya supaya tidak mudah berasa selesa.
“Apabila terdapat satu pasukan yang mampu menundukkan Belgium, Sepanyol dan Portugal, dan berada di kedudukan teratas dalam kumpulan, ia adalah kerana mereka mempunyai banyak kualiti di atas padang dan semestinya di luar padang juga, dari segi perpaduan dan semangat berpasukan,” kata Lloris.

“Mereka akan menjadi pihak lawan yang menggerunkan, dan selain itu, akan ada suasana yang tegang dalam stadium.”
Pasukan Deschamps semakin menghampiri kejayaan Piala Dunia ketiga dalam tujuh kejohanan tetapi sedar bahawa tiada pasukan setakat ini telah berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Dunia sejak Pele dan Brazil pada tahun 1962.
Perlawanan pada awal pagi Khamis nanti akan menjadi lebih hangat disebabkan Perancis pernah menjajah Maghribi suatu masa dahulu dan kini terdapat lebih sejuta warga Maghribi yang menetap di negara kuasa koloni itu.
Senjata rahsia mereka ialah sokongan luar biasa peminat dari dalam stadium dan di seluruh dunia Arab.
“Mereka bakal mendapat sokongan yang penuh bersemangat. Stadium akan jadi terlalu riuh dan saya telah mengi-ngatkan semua pemain akan hal itu. Mereka dapat jangkakan apa yang akan berlaku,” kata Deschamps.
Sementara itu, jurulatih Maghribi, Walid Regragui, yang telah dilahirkan berdekatan Paris dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam liga Perancis, percaya bahawa pasukannya akan menjadi pilihan neutral.
Namun dia menegaskan bahawa pasukannya datang ke Qatar bukan untuk mencukupkan bilangan sahaja.
“Jika kami berasa gembira kerana telah mencapai separuh akhir, dan mereka menganggap itu sudah mencukupi, maka saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
“Jika awda sudah sampai ke separuh akhir dan awda tidak berasa lapar, maka awda mempunyai masalah.
“Pasukan yang terbaik dalam kejohanan, Brazil, sudah pun terkeluar. Kami adalah pasukan yang bercita-cita tinggi dan kami dahagakan kemenangan, jadi saya tak pasti jika ia (separuh akhir) sudah mencukupi,” kata Regragui. – AFP

