BERLIN, 5 DIS – Pasukan Maghribi perlu mempamerkan aksi terbaik ketika bertemu Sepanyol dalam pusingan kalah mati pada Selasa ini, kata penjaga gawang, Yassine Bounou.
Maghribi mara ke pusingan kalah mati selepas menamatkan perlawanan peringkat Kumpulan F tanpa kalah, seri dengan finalis 2018, Croatia dan menewaskan Belgium serta Kanada.
“Kami sudah mencipta sejarah dengan mara ke pusingan 16 terakhir, tetapi kami mahukan lebih daripada itu.
“Andai dapat menundukkan Sepanyol, satu sejarah akan tercipta di Piala Dunia kali ini dan dalam arena bola sepak negara.
“Kami mahu menggembirakan rakyat Maghribi. Kami sudah bersedia sepenuhnya. Kami telah menjadi lebih baik dan akan menjadi lebih baik dalam setiap perlawanan,” katanya.
Keputusan mengejutkan dengan menundukkan Belgium di pentas Piala Dunia menjadi satu pencapaian besar, namun katanya, pengurus Sepanyol, Luis Enrique sudah tentu akan memastikan Maghribi perlu bekerja keras untuk menang.
“Sepanyol akan memaksa kami untuk menjadi yang terbaik.
“Ia satu perlawanan yang sangat kompetitif. Kami perlu bersedia untuk itu,” katanya. – Bernama
