Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maghribi sedia hantar pulang pendatang tanpa izin di Eropah

    RABAT, 9 OKT – Maghribi kelmarin berkata ia bersedia untuk menerima semula warganya yang berhijrah ke Eropah, sambil menyalahkan negara tuan rumah atas penangguhan proses penghantaran pulang.

    Kenyataan itu dibuat ketika penggubal undang-undang Perancis menyeru pelaksanaan dasar penghijrahan yang lebih ketat selepas seorang pendatang tanpa izin dari Maghribi ditahan atas tuduhan membunuh seorang pelajar Perancis berusia 19 tahun, bulan lalu.

    Pihak berkuasa Perancis sebelum ini telah mengarahkan pengusirannya berhubung sabitan kes rogol sebelum ini, tetapi Rabat telah dipersalahkan kerana gagal mengeluarkan dokumen laissez-passer yang membenarkan penghantarannya.

    Menteri Luar Maghribi, Nasser Bourita kelmarin menyatakan bahawa kerajaan ‘bersedia untuk menghantar pulang mana-mana pendatang tanpa izin yang disahkan sebagai warganegara Maghribi dan yang berlepas dari wilayah Maghribi.’

    “Maghribi sudah bersedia, tetapi adakah pihak lain bersedia?” katanya semasa sidang akhbar, sambil menambah bahawa Rabat tidak perlu menerima pengajaran mengenai usahanya membendung migrasi tanpa izin.

    Suspek pembunuhan itu ditahan di Switzerland pada 25 September, empat hari selepas mayat pelajar perempuan berusia 19 tahun ditemui di dalam hutan di barat Paris.

    Dia telah disabitkan dengan kesalahan merogol yang dilakukannya pada 2019 dan diarahkan meninggalkan negara itu. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda