RABAT, 26 April – Kerajaan Maghribi akan menaikkan gaji bulanan penjawat awam antara AS$40 dan AS$50 dalam tempoh tiga tahun menerusi perjanjian yang ditandatangani pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
Perjanjian itu ditandatangani kerajaan dengan tiga kesatuan sekerja terbesar dan pertubuhan majikan utama.
Kenaikan gaji itu akan dilakukan melalui beberapa fasa dalam tempoh 18 bulan dengan fasa pertama adalah pada bulan Mei diikuti Januari 2020 dan Januari 2021.
Kerajaan juga akan meningkatkan elaun keluarga sebanyak AS$10 bagi setiap tiga anak pertama untuk kakitangan awam dan swasta.
Ketiga-tiga pihak turut bersetuju untuk menaikkan gaji minimum sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun untuk pekerja swasta di sektor perladangan, perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan. – Bernama