Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maghribi tubuh komiti kehakiman dalam stadium menjelang Piala Dunia FIFA 2030

    RABAT, 4 SEPT – Maghribi merancang untuk menubuhkan komiti kehakiman di stadium bagi mengendali segera kesalahan yang dilakukan oleh penyokong semasa Piala Dunia FIFA 2030 yang akan dihoskan bersama dengan Sepanyol dan Portugal, kata Menteri Kehakiman Abdellatif Ouahbi.

    Langkah itu adalah sebahagian daripada pelbagai reformasi kehakiman yang sedang dijalankan menjelang kejohanan tersebut untuk mengelakkan mahkamah daripada dibelenggu dengan kes-kes kecil, jelas Ouahbi kepada Reuters.

    “Komiti yang dipengerusikan oleh pendakwa raya, bekerja sama dengan perkhidmatan kehakiman dan keselamatan di dalam stadium, akan memastikan penyelesaian sebarang insiden dengan segera sambil menghormati proses yang sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis.

    Maghribi menjangka acara tersebut akan menambah jumlah ketibaan pelawat kepada 26 juta pada 2030, meningkat daripada 17.4 juta pada 2024.

    Untuk membentuk strategi undang-undang, Maghribi sedang mengkaji acara sukan sebelumnya, termasuk Sukan Olimpik terkini dan Piala Dunia yang lepas, tambah menteri tersebut.

    Maghribi akan menandatangani perjanjian kerjasama kehakiman dengan Sepanyol dan Portugal untuk mempercepatkan sebarang ekstradisi atau pemindahan kes, serta memberikan bantuan undang-undang bersama, kata Ouahbi.

    Negara itu kini sedang mengkaji semula kod keluarga dan kanun jenayah serta memperkenalkan hukuman alternatif, seperti gelang elektronik untuk mengurangkan kesesakan penjara, sebahagiannya disebabkan oleh kadar penahanan pra-perbicaraan yang
    tinggi.

    Persediaan tambahan termasuk kaunter kehakiman berbilang bahasa untuk membantu pelawat asing, latihan khusus untuk hakim dalam bidang sukan, pelancongan dan pertikai-an pengguna, serta meluaskan penggunaan pengantaraan dan penyelesaian pertikaian alternatif untuk mengurangkan beban kerja mahkamah, katanya.

    Maghribi telah mengumumkan penambahbaikan infrastruktur besar-besaran menjelang kejohanan itu, termasuk stadium baharu, rangkaian rel dan lapangan terbang yang diperluas, kapasiti hotel yang meningkat serta pengubahsuaian bandar. – Reuters

    Gambar Morocco World News
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda