Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Magic kejutkan Lakers

    LOS ANGELES, 22 NOV – Pemain antarabangsa Jerman, Franz Wagner menjaringkan tiga mata dengan berbaki tiga saat ketika Orlando Magic menamatkan rekod tanpa kalah Los Angeles Lakers di tempat sendiri dengan kemenangan dramatik 119-118 kelmarin.

    Wagner, 23, mencatatkan 37 mata, 11 assists dan enam rebound untuk mengetuai jaringan Magic, dengan abang sulungnya, Moritz menambah 19 mata dari bangku simpanan dan Jalen Suggs menjaringkan 23 mata.

    Lakers, yang berada dalam prestasi cemerlang dengan enam kemenangan berturut-turut sebelum perlawanan pada Khamis, terpaksa menyesali ketumpulan mereka dari garisan lontaran percuma pada suku keempat, di mana mereka hanya berjaya menyempurnakan tiga daripada sembilan percubaan.

    Lakers kelihatan hampir menamatkan perlawanan dengan kemenangan selepas membuka kelebihan empat mata dengan 27 saat berbaki, pada kedudukan 118-114.

    Tetapi Franz Wagner merapatkan jurang kepada 118-116 dengan satu layup, dan kemudian Anthony Davis terlepas dua lontaran percuma untuk memberikan Orlando sedikit harapan dengan baki 19 saat.

    Wagner kemudiannya menghukum pembaziran Lakers, dengan tenang menjaringkan tiga mata dari jarak 26 kaki untuk memberikan Orlando kelebihan yang akhirnya menjadi kemenangan mereka.

    Davis mengetuai kutipan mata untuk Lakers dengan 39 mata manakala LeBron James menyumbang 31 mata, 10 rebound dan tujuh assists. Pemain rookie, Dalton Knecht menambah 17 mata.

    Orlando kini mencatatkan rekod 10-7 manakala Lakers jatuh kepada 10-5 dan kini berada di tempat keempat dalam Western Conference.

    Dalam perlawanan lain, San Antonio Spurs memperbaiki rekod mereka kepada 8-8 untuk musim ini selepas berjuang untuk menewaskan Utah Jazz, 126-118. – AFP

    Aksi Wagner semasa separuh masa pertama permainan bola keranjang NBA di Inglewood, California. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda